Pages

Tuesday, February 22, 2011

Kawan, Teman, Sahabat atau Lawan…

Salam...
Kembali bersiaran... ada teman-teman bertanya mengapa sudah lama tidak beceloteh... rindu pada bebelan yang entah apa-apa itu agaknya... bukan apa... kadang-kadang cakap banyak-banyak pun tidak berguna... kerana apa yang disampaikan itu langsung tidak memberi makna... lagi tidak elok andai membuatkan ada yang makan hati atau terasa... dari cakap yang bukan-bukan baik duduk diam sahaja... namun sejak dua menjak ini rindu sangat pada teman-teman dan sahabat lama... sementelah melihat rakan-rakan mengadakan reunion dan mini gathering di tanahair... kenangan lama terlintas satu persatu... coretan kali ini memang agak panjang... tiba-tiba idea mencurah-curah... kalo rasa letih dan malas nak baca, sila angkat kaki... ehheee....


Seiring penambahan usia, sejak zaman kanak-kanak meniti remaja dan juga meningkat dewasa pasti kita mempunyai ramai kenalan, rakan, kawan atau teman yang mengiringi perjalanan hidup kita. Namun begitu bukan semua teman atau kawan ini adalah sahabat kita. Mereka ini walaupun hampir sama dan sinonim maknanya namun darjah keakraban berbeza antara satu sama lain. Kenalan, kawan atau teman cuma sekadar mengiringi dan mewarnai hidup kita... namun sahabat sejati, memang sukar dicari malah jika hilang tak mungkin berganti... sesungguhnya sahabat itu adalah seumpama bintang di langit, kadangkala kita nampak kerlipannya… juga kadangkala kita cuma nampak langit yang kelam… namun, jauh di sudut hati kita tahu ia tetap ada di situ menemani tidak kira di mana kita berada…

Dalam menganyam erti sebuah kehidupan, kadangkala kita terluka, juga kadangkala tanpa disedari kita mungkin melukakan insan disekeliling kita... dengan ini, sebelum daku meneruskan catatan, secara terbuka daku memohon ampun dan maaf buat semua kenalan, rakan, kawan, teman dan juga sahabat yang terguris, tercalar dan terluka dengan apa sahaja salah dan silap yang daku pernah lakukan... sama ada kekhilafan yang dilakukan tanpa daku sedar juga yang kadangkala sedar namun terkadang tidak dapat daku menahan… daku juga bukan manusia sempurna... banyak kekhilafan dalam diri... namun daku tahu itu bukan alasan untuk terus melakukan kesilapan tetapi daku akan berusaha memperbaiki... kerana pepatah menyatakan...

~ Berani menyatakan pendirian adalah sifat satria, tetapi berani surut dari yang salah dan berani mengaku adalah lebih satria. – Hamka - ~

Bukan mudah nak mencari sahabat dalam hidup ini... Pasti ramai yang bersetuju denganku… Kerana bukan mudah mencari teman yang boleh menjadi bayang kita kala kita keseorangan, yang sudi memberikan bahu kepada kita kala kita ingin menangis, yang rela menjadi bantal kita bila terasa ingin dipeluk dan juga tahu bilakah mereka cuma perlu memberikan sekuntum senyuman untuk mewarnai seluruh hari yang kusam dalam hidup kita…

Seorang yang bijak pandai pernah berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

* Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu…

* Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu…

* Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu…

* Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik…

* Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu…

* Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya…

* Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya…

* Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu…

* Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu…

* Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu…

* Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu…

*Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan…

* Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat…

* Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat…

Dalam kesemua sifat di atas, berapa ramaikah insan disekeliling kita yang berupaya menjadi seperti itu… juga seberapa banyakkah sifat itu yang ada pada kita… sama-samalah kita renungkan dan muhasabah diri kita…

Dalam meniti perjalanan usia ini, pasti bermacam-macam ragam manusia yang kita temui… kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja… juga kita berhak memilih kawan kita… ada kenalan, rakan, kawan atau teman yang hanya akan tetap berada ditahap itu sahaja dalam hidup kita… juga ada yang akan kita angkat tahapnya menjadi sahabat bagi mendampingi dan menemani perjalanan hidup kita… tepuk dada tanya selera jenis manusia macammana yang kita inginkan jadi pendamping… Pasti nya semuanya sebab musabab kita berkawan adalah yang dirasakan ada chemistry dan yang memberikan keselesaan pada kita…

Namun kadangkala kita tidak lepas dari kesilapan membuat percaturan… kita berkawan dan cuba menyelami hati budi… kita angkat darjatnya dari seorang kawan atau teman menjadi sahabat tiba-tiba dia menikam kita dari belakang… dia menjadi talam dua muka… dia hiprokit dan suka berpura-pura… dia penghasad dengki… dia pengadu domba… dia sombong, riak dan takbur… sesungguhnya kita manusia yang punya hati dan perasaaan akan terusik rasa, terguris hati, tercalar jiwa juga mampu membuatkan kita luluh dan kecewa... aduhhhhh, memang amat sakit dan pedih... umpama luka tak berdarah namun meninggalkan kesan yang sangat pedih lagi mendalam...

Pengalaman daku? Sangat banyak dan tidak terhingga… manusia –manusia ini memang pandai bermain wayang dan pandai berbahasa… Antara jenis-jenis manusia yang pernah daku jumpa:

  • dia marah kalau kita bercakap buruk tentang dirinya… tapi kalau dia yang bercakap buruk tentang orang lain, dia tidak salah juga berdosa… dia cuma menyampaikan fakta…
  • dia pembelit dan penglipur lara… kita kadangkala cuma mendengar, namun dia yang menokok tambah cerita menjadikan cerita lebih menarik dan berbunga-bunga jalan cerita… kemudian kita pula dijadikan mangsa…
  • kita kadangkala cuma meluahkan pada teman terdekat dan rapat sahaja… tapi tiba-tiba si dia mencelah dan mengintai-intai pula apa yang kita bualkan sehingga sanggup bertanyakan pada orang lain apa yang kita bualkan dengan niat ada cerita panas yang ingin di jaja...
  • dia juga pandai mengadu domba… dia tidak tahu hujung pangkal dan cerita… tiba-tiba dia menjadi penyampai berita dengan niat memecah belahkan perhubungan yang sedia ada…
  • dia talam dua muka… sebenarnya dia juga berkata buruk tentang seseorang namun di depan mereka, dia pengampu, pengipas dan yang paling hebat lagi dialah juga seperti penghawa dingin yang dipasang di musim sejuk… grrrrrrrrr…
  • dia berlagak naïf, sempurna dan baik hati… walhal niatnya cuma ingin berlumba-lumba, menunjuk-nunjuk dan mendabik dada…
  • dia kaki pembelit, penipu dan pendusta… lain kisah asalnya, lain pula cerita dari mulut dia…
Memang banyak lagi jenis manusia negatif yang daku dah jumpa… memang kita harus berfikiran positif apabila berdepan dengan manusia-manusia ini… sedaya upaya berfikiran yang baik tentang mereka kerana sesungguhnya kita mungkin tidak tahu apa niat mereka sebenarnya… jangan bersangka buruk kerana niat mereka hanya Allah yang tahu… tapi kita insan lemah yang serba kekurangan… kadangkala ada juga tersasar rasa… geram, benci, marah, menyampah dan seangkatan dengannya… beristighfarlah…

Bila berdepan dengan mereka-mereka ini… tak perlu panjang cerita… tak guna berbahas bahasa… angkat sahaja kaki, jauhkan diri… usah lama berada di sisi mereka… mereka yang spesis ini, hilang akan berganti… hilang juga tidak akan memberi kesan pada kita… apatah lagi memberi kan kerugian buat kita… bak kata pasarnya … ‘Ada aku kisah?’ ... mungkin pada awalnya kita akan terasa geram, marah dan juga benci … namun seiring peredaran masa, ada suatu ketika nanti kita cuma akan tersenyum sendiri mengenang ragam manusia ini… tiada lagi amarah, kesal atau benci… yang penting kita harus berusaha meneruskan kehidupan kita dengan positif… biarlah mereka ini terjun dengan labu-labunya…

Memang daku ini simple saja... memang kita boleh berkawan dengan siapa sahaja... bak kata pepatah berkawan biar seribu... kita berbaik dengan sesiapa saja bukan bermakna kita hipokrit dan bermuka-muka... jika orang berbudi pastilah kita berbahasa... daku akan jadi biasa-biasa sahaja bila berdepan dengan mereka-mereka yang kadangkala kita rasa kurang serasi dan tak berkenan di hati... nama daku nak ampu, kipas, bodek, puji dan lebih-lebih, mahaplah...tiada dalam kamus hidup daku nak jadi kaki ampu... biarlah siapa pun kamu... orang berpangkat, ada nama, ketua, ada harta... tidak mungkin sama sekali... bukan kerja daku tukang ampu kamu... kamu bayar gaji pun daku tidak sudi...

Ingatan ini juga untuk diri sendiri… kala menambah kenalan, rakan, kawan, teman dan sahabat berhati-hatilah… jika niat kita ikhlas dan baik, insyallah baiklah balasan buat kita… namun jika ditakdirkan Allah ingin menduga kita, bersabarlah… tempuhlah dengan redha juga bijaksana…

Jika ada yang datang menyampaikan berita yang tidak baik tentang teman-teman disekeliling anda, jangan anda bersangka buruk kerana kita tidak tahu kesahihannya… lainlah kita sendiri nampak dengan mata kita dan memang juga pernah laluinya… biasanya pengadu domba dan pembawa cerita ini adalah pendusta… melainkan kita pasti dan yakin sumber kesahihannya… Janganlah cerita yang disampaikan itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya… kerana perbuatan kita itu akan mendorong kita membuka keaiban orang lain… Jangan merasa senang atau suka dengan perbuatan pengadu domba itu, dan seterusnya tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang diceritakan kepadanya itu. Kerana kita mungkin tidak tahu, dia menyampaikan cerita kepada anda DAN dia juga menyampaikan cerita anda juga kepada orang lain… berhatilah-hatilah…

Bukan mudah mencari sahabat sejati… jika tidak, masakan disamakan dengan intan permata yang tak ternilai harganya… Allah kurniakan sahabat ini tanpa tanda harga kerana jika tidak, pastilah sehingga mata tertutup rapat dan jantung tidak berdegup lagi kita tidak mampu memilikinya walaupun wang ringgit, emas, berlian dan permata kita setinggi gunung dan seluas lautan…

Buat mereka yang bernama teman & sahabat… daku sayang anda semua… baru atau lama… anda tahu siapa anda… tak perlu daku bariskan satu persatu... zaman sekolah rendah, menengah, pengajian tinggi, alam pekerjaan dan meniti dewasa… walaupun kadangkala jarak dan masa memisahkan… namun kenangan itu tetap berkilau dan tidak pernah sirna dikabuti masa atau usia… terima kasih kerana mewarnai hidupku sentiasa ada di sisi tika waktu dan saat daku memerlukan… terima kasih juga kerana sudi menghulurkan tangan kala daku jatuh tersungkur… juga membalut dan merawat luka di kala hati ini berdarah tidak berwarna… budi dan jasa kalian daku semat erat di sudut hati… Thanks for the memories... insyaallah tidak akan padam sehingga hujung nyawa… hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian yang tidak ternilai itu…

Akhir kalam… sejuta kemaafan dan keampunan sekali lagi… andai sepanjang perkenalan ini daku bisa melakukan kesilapan dan melukakan… Insyaallah, daku akan berusaha memperbaiki kesilapan diri… Semoga Allah sentiasa memberikan rahmat buat kita, memberikan petunjuk dan hidayah, menyinarkan nur Iman ke dalam hati kita dan memberkati perjalanan hidup kita… Amin ya Rabbal Alamin..

4 comments:

  1. Post yang menarik.. terharu dan insaf.. Semoga kita sama2 memperbaiki apa yang buruk kepada yang baik, yang baik kepada yang lebih baik.... Luv u Ayu.. muahhhh...

    ReplyDelete
  2. My 2 cents..

    When someone show off, they being riak.. but when YOU showing off, you just being caring by sharing..

    When someone talk about someone else, they backbitting and badmouthing.. but when YOU talk about someone else, you're just telling the truth..

    Suka suka jugak.. enjoy enjoy jugak.. tapi once in a while kena kembali muhasabah diri. Tima kaseh wak atas ingatan dan ilmu yang di kongsi. Sama sama kite perbaiki diri, that's what friends are for :)

    ReplyDelete
  3. Manusia ni ada macam-macam spesis. Tapi yang paling banyaknya, spisis depan baik, belakang tembak terus guna machine gun. Bolayan je la manusia macam ni, itupun kalo kita discover la, kalo tak, idup-idup kena tipu. Sian kan...Memula baik sangat, lebih dari sahabat, dah macam adik beradik, tapi selalunya manusia macam ni, xtvt dia tak lama, walopon selepas 8 9 tahun berkarya dengan hasil nukilannya yang "hidup" bak air sungai mengalir, tapi dia tak tau, ada Perancang yang lebih besar dari dia, Pencipta yang memerhatikan xtvt tak berpermit. Semoga Allah memberikan hidayah dan taufik bagi manusia spesis yang disebutkan oleh ko tu Ayu. Insya'allah...Terima kasih dengan coretan ko, bagus untuk si pengkarya yang lagha dan secara tak langsung ingatan buat aku, sesungguhnya persahabatan adalah sesuatu yang halus tak terungkai dengan kalimat....

    ReplyDelete
  4. dua tiga hari aku tangguh nak baca benda ni. hari ni bile lapang baru boleh baca. teringat zaman masa sekolah2 dulu. .. bile fikir2 balik. semua tu mmg best.. tak tahu boleh jumpa semua balik.. skrg masing2 dah ade kerjaya masing2... dah ada keluarga masing2... apa2 aku doakan ko berjaya dunia akhirat. :P

    ReplyDelete